Motivasi Diri
KECANTIKAN AKAN HILANG DI MAMAH TUA
Usah risau kalau kita tidak cantik. Jangan rasa hina andai kita tidak tampan. Kadangkala kecantikan orang lain itu membuat kita rasa rendah diri. Adakala ketampanan orang lain menyebabkan kita rasa tiada harga diri. Kita persoalkan kenapa kita tidak secantik dirinya? Mengapa kita tidak dilahirkan tampan sepertinya? Kita tidak boleh ubah rupa yang sedia ada. Kita selalu terlupa segala nikmat lain yang kita terima. Bersyukurlah wahai pelupa. Allah pemilik alam semesta yang menciptakan kita. Mana mungkin sang Pencipta tidak tahu apa yang terbaik buat hamba-hamba ciptaanNya. Jangan dipinta yang tidak ada. Sebaliknya memanfaatkan yang sedia ada. Bukan cantik luaran yang kita kejarkan, tapi indah dalaman yang kita impikan.
Manusia hari ini terlalu sibuk menghiasi luaran sehingga terlupa sisi dalaman. Luaran itu tak lama. Kulit yang tegang sampai masa berkedut juga. Kecantikan akan hilang dimamah tua. Rambut tidak selamanya hitam. Bila sampai masanya, kepala kita diganti dengan uban. Diri kita bukan kita yang punya. Yang luaran itu akan pudar seiring usia. Yang dalaman itu yang harus dibina. Dalaman itu yang akan kita bawa bertemu Allah Azza Wajalla. Tentu saja dalaman itu adalah HATI. Kenapa bukan hati itu yang kita persiapkan? Mengapa bukan hati itu yang kita hiaskan? Betapa ramai yang sedia berkorban demi bergelar cantik. Duit sudah terlalu banyak dikeluarkan. Biar tak berharta asalkan punya wajah yang jelita. Demi diri kelihatan menawan, segalanya boleh dikorbankan.
Cantik itu tidak selamanya membawa kebahagiaan. Bahkan dengan kecantikan itu boleh mengundang kemurkaan tuhan. Hanya untuk dikata cantik dia langgar perintah Allah. Kerana ingin dipuji cantik, akhirat dia gadaikan. Biarlah tidak cantik asalkan hati beriman. Biarlah tidak tampan janji taqwanya mapan. Jangan mudah rendah diri dengan rupa zahir. Jangan rasa kecil hati dengan itu semua. Bukan semua manusia lahir dianugerahkan kecantikan rupa. Tetapi setiap insan itu dihadiahkan sekeping hati yang perlu ditempa. Hati itu yang akan menjadikan kita mulia. Hati itulah yang bertakhta padanya bahagia.
Maha suci Allah yang maha bijaksana dalam mencipta kita. Dia sentiasa berlaku adil pada kita hamba-hambaNya. Allah tidak menilai kita dengan paras rupa. Syurga itu bukan untuk mereka yang cantik tampan semata-mata. Tetapi Syurga itu untuk semua pemilik hati yang bertaqwa. Sabda nabi junjungan mulia:“Sesungguhnya Allah s.w.t tidak melihat luaran kamu dan harta kamu, tetapi Allah s.w.t. melihat hati kamu”. Cukuplah merisaukan tentang luaran diri. Bersyukurlah dengan segala yang dimiliki. Mari kita cantikkan hati. Mudah-mudahan dengannya kebahagian itu bertandang kemari.
Wallahualam..sekadar Pengkongsian
0 comments